Monday, September 24, 2012

Island Hoping @ Semporna

Salam..

Lama dah tak update blog (ayat sama setiap kali buat entry baru). Kali ini nak berkongsi tentang kecantikkan ciptaan Allah di bumi Semporna Sabah. Setelah menjejakkan kaki di Semporna ini, maka dengan ini aku ingin mengishtiharkan 'AKU DAH HABIS KHATAM SATU SABAH' yahoo..sebenarnya Gunung Kinabalu depan mata ni belum daki lagi..

Almaklumlah borang transfer dah lama hantar tapi tak dapat lagi pindah. Makanya, masa yang ada digunakan bagi menawan tempat-tempat yang belum pernah pergi lagi walaupun poket dah berlubang disebabkan gaji raya terlalu awal.

Tunggu bas dari Ranau hari Jumaat dari pukul 345 dan bas sampai pukul 430 petang. Banyak tu buang masa. Naik terus sampai 'check point' sebab kawan tunggu dekat situ. Rehat dulu di Kinabatangan semalam. Bertolak ke Semporna dari Kinabatangan pada hari Sabtu tengah hari lebih kurang 3 jam perjalanan. Sampai-sampai di Semporna dah lewat petang. Kami tinggal di hotel City Inn di bandar Semporna. 4 katil satu bilik lebih kurang RM80 je. Murah kan? kami sumbat je 5 orang. lagi jimat almaklumlah gaji belum masuk. Lagipun nak tidur je bukan nak 'honeymoon'.

Malam tu kami makan di Restoran Tampi-Tampi. Nak sampai ke sini punyalah susah. Banyak kali jugalah sesat. Tiada sebarang papan tanda walaupun menjadi tempat tumpuan ramai. Difahamkan, dekat sinilah juga tempat berlakon Maya Karin yang jadi duyung tu. Tempat yang cantik walaupun malam tu gelap. Mungkin kalau datang siang mesti lagi cantik. Makanan dia boleh tahan jugalah. Kami makan seafood dan lebih kurang RM30 juga lah sekepala kena bayar. Takkan datang jauh-jauh makan nasi goreng ayam pulakan.

Pemandangan di restoran Tampi-tampi. Malam-malam pun boleh nampak kejernihan air.


Antara seafood yang ditawarkan. Semua tu hidup-hidup lagi ba..

Awal pukul 7 pagi keesokan harinya kami telah ditunggu oleh bot yang kami sewa khas. Kami semua berlapan. Kami guna bot kampung je sebab nak jimat . Kalau guna bot komersial tu, dijamin boleh sampai ribuan ringgit. Yang kami dapat cuma RM400 untuk 3 pulau termasuklah permit untuk masuk ke pulau-pulau tu. Kena ada permit nak masuk pulau-pulau ni, bukan suka-suki je datang. Tips nak cari bot kampung macam kami ni, pertama sekali kena tanya pakai enjin bot brapa kelajuan. Lagi banyak nombor lagi laju. Dinasihatkan ambillah yang kelajuannya lebih daripada 100. Kalau tak, tertidur-tidurlah kat dalam bot.

Pulau manakah yang kami pergi?? Mabul? Mataking? Sipadan? Semuanya salah. Pulau yang kami pergi adalah Pulau Boheydulong, Pulau Matabuan dan Pulau Sibuan. Kenapa nak pergi pulau ni? sebab aku bukan penganjur, jadinya ikut saja.  Lagi pun pulau-pulau ni tidak ramai penghuni dan masih lagi tidak tercemar. Kalau tak berminat nak tengok gambar yang akan aku tayangkan, silalah guna 'google image' untuk tengok kecantikkan ciptaan Allah ni..Subhanallah..
Menuju ke Pulau Boheydulong

Pemandangan yang teramat cantik

Pulau Boheydulong

Sangatlah cantik pemandangan sepanjang atas bot. Air laut membiru dan bersih lagi. Boheydulong adalah pulau pertama yang kami pergi. Pulau ni macam tiada penghuni, cuma ada beberapa orang yang buat research pasal hidupan laut di Pulau ni. Pemandangan di Pulau ni sangat cantik. Nak lagi cantik kenalah panjat atas bukit. Nak panjat tu mestilah ada penunjuk arah dan kami kena bayar RM50/group untuk guide ni. 40 minit jugalah nak sampai ke puncak tu. Lepas raya pula tu, badan berat dan dah lama tak bersenam, inilah akibatnya. Pancit, mengah, tak larat, nak muntah.

Tapi bila sampai puncak, nah! hilang semua penat sebab pemandangan tersangatlah cantik. Kalau tengok gambar pun dah cantik inikan pula kalau tengok dengan mata bogel (naked eyes). Tak nak berkelip rasanya mata ni. Selepas puas ambil gambar, kami pun turun. Paling best sekali, jalan licin sebab malam sebelum tu hujan. Banyak kali jugalah nak tergelincir. Lagipun aku pakai selipar je. Konon hebatlah tu, nasib baik tak putus.

Bot kami berjaya mendarat di jeti Pulau Boheydulong

Kami ambil keputusan nak snokerling di pulau ni je. Almaklumlah pemandu bot kami lupa bawakan kami snokerling set yang telah dijanjikan. Ni pun pinjam-pinjam orang dekat pulau tu. Hasil snokerling di pulau ini adalah biasa-biasa. sebabnya adalah 1) banyak batu 2) tak banyak ikan 3) coral pun tak banyak yang lawa 4) banyak landak laut (sea urchin).
Pemandangan dari jeti

Tapak sulaiman yang menjadi mangsa kajian

Clamp ni pun mangsa bahan uji kaji (tak ingat orang tempatan panggil apa binatang ni)

Wah..pemandangan dari atas puncak pulau Boheydulong..ternganga sekejap

Lagi dari atas

Dan lagi..


Dan lagi lagi..

Bukti..Selipar yang digunakan untuk mendaki puncak..

Kami bertujuh..missing: cameramen


mungka bersunggung-sungguh snokerling air cetek

Pemandangan dari jeti juga

Pulau Matabuan

Pulau Kedua yang kami pergi. Pemandangan memang Superb. Cuma pulau ni tak berapa sesuai nak beriadah. Maksudnya nak bermandi-manda di gigi-gigi air adalah kurang menarik. Sebab pantai dia ada rumput yang hidup di bawah air. Tapi kami celup jugaklah nak merasa.

Di pulau ni ada beberapa keluarga Bajau laut yang tinggal. Jika ditengok keadaan kehidupan orang ni, macam nak menitik air mata pun ada. Ada lagi orang yang macam ni kat Malaysia ni. Manalah pergi pemimpin yang telah diamanahkan ni? Menyesal pula sebab tak bawa apa-apa untuk budak-budak dekat pulau ni. Tapi cuma terasa rendah diri pun ada, sebab walaupun dalam keadaan daif dan serba kekurangan tetapi masih ada rezeki Allah kepada mereka untuk teruskan hidup. Kita yang terlebih cukup ni pernah tak bersyukur?

BBot berjaya mendarat di Pulau Matabuan

Pemandangan indah lagi

Pusing-pusing satu pulau

Tu na..perempuan panjat pokok kelapa..kau boleh?


Antara rumah tempat tinggal orang di pulau ni..kesian deh

Pemandangan dipersisiran pantai

mmmm..

Ni pun salah satu rumah penduduk tempatan? tak reti lagi ke korang nak bersyukur?

Pusing lagi pulau


Pulau Sibuan

Pulau terakhir kami pergi. Pulau ni pun tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Tersangatlah cantik. Hanya ditumbuhi dengan pokok-pokok kelapa dan pasir yang mengunjur ke laut. Dekat pulau ni pun ada penghuni. Penduduk yang tinggal di pulau ni lebih ramai daripada pulau Sibuan tadi. Tapi cara kehidupan mereka masih sama juga. Penghuni pulau ni pandai juga berniaga. Mereka jual buah kelapa kepada pelancong yang datang. Difahamkan, mereka perlu dapat kebenaran daripada askar dulu baru boleh panjat pokok kelapa. Ramai jugalah bot dan orang yang singgah di pulau ni dan sambil-sambil berpicnic.

Nak snokerling dekat area sini pun menarik juga. Banyak juga coral yang cantik-cantik cuma kena pergi tengah laut sikitlah. Masa kami datang air masih cetek lagi paras-paras lutut je. Agak-kecewalah mula-mula tu. Nak tak nak layan jelah sebab ni dah pulau terakhir. Sekali bila nak balik, air dah pasang paras-paras dada, waktu nilah syok nak mandi manda. Kalau tidak disebabkan pemandu bot tu ajak balik, mau je kami balik malam tapi tak nak bermalam. Kami tak tau nak makan apa kalau bermalam kat pulau ni.

Berjaya mendarat di Pulau Sibuan..Kebanyakkannya pokok kelapa je yang tumbuh

Papan tanda selamat datang

Rumah penduduk Pulau Sibuan ni? berapa bilik ni?

Pemandangan lagi

Penduduk tempatan..nah tak payah pakai seluar..

Ikan masin..kat mana pun boleh jemur..bot tu ditaja Sengheng ke?


Kesimpulannya, Semporna adalah mempunyai gugusan pulau yang tersangat cantik. Bagi yang tiada lesen diving tu macam kami ni, cuma main di tepian pantai dan bersnokerling jelah.  Tapi sambil berseronok tu, kita kena fikir-fikirkanlah tentang kebesaran Allah yang tiada bandingnya. Bersyukurlah kita dengan nikmat yang ada.

Disebalik bumbung yang bocor, ada lagi yang beralaskan kotak.  Disebalik mata yang rabun, ada lagi mata yang buta. Disebalik tiada kenderaan, ada lagi yang tiada kaki. Disebalik tiada lauk yang sedap, ada lagi yang tidak makan. Wassalam


 

Tuesday, August 7, 2012

Sahur

Salam

"Bersahurlah, Sesunggunya pada makan sahur itu ada keberkatan" (H.R. Bukhari dan Muslim)

Perkara yang paling menyedihkan bila bersendirian pada bulan puasa ni adalah bersahur. Bersahur di Sabah awal. Masuk waktu sembahyang Subuh dalam pukul 450 pagi. Pada penilaian diri sendiri aku bagi gred B- untuk sahur aku pada bulan puasa kali ni. Tapi gred disisi Allah mungkin lagi rendah. Wallahua'lam.

Untuk aku yang bujang ni bangun untuk hidupkan api dan memasak adalah amat mustahil. Konon-kononya nak mengoptimakan waktu tidur (tidur bulan puasa ni pun ibadat). Kalau diikutkan cara kemalasan aku ni, makanan untuk sahur dah siap di'packing' dan diletakkan disebelah katil sebab rumah ada tangga ni buat aku malas nak naik turun banyak kali.

Paling mengecewakan bila tersedar dari tidur pukul 5 pagi. Hanya mampu menghidu makanan tu jelah. Murah rezeki anjing sebelah rumah. Dan bila kejadian macam ni kerap berlaku, mulalah kita rasa bersyukur dengan nikmat yang ada tapi tiada depan mata. Nikmat apakah?

Nikmat mempunyai emak. Kenapa? Sepanjang hidup aku berpuasa di rumah, aku tak pernah pun tak bersahur. Aku rasa mak orang lain pun macam tu juga. Macam mana seorang ibu ada kekuatan nak bangun pagi untuk panaskan makanan dan paling hebat nak masak untuk sahur.

Ada juga emak yang lebih hebat yang boleh masak + sahur + qiamullail + tadarus lagi. Sungguh luar biasa. Rindu emak tiba-tiba ni. Lagi 3 hari dari tarikh entry kali ni aku akan memulakan cuti hari raya + 10 ramadhan terakhir di rumah.

Marilah sama-sama kita tukar ke gear 5 untuk melipatgandakan lagi amal ibadat kita. Dan mudah-mudahan segala amal ibadat kita di terima Allah. Bersahurlah. masih ada masa lagi untuk kita mencari keberkatan dengan bersahur. Melambatkan-lambatkan sahur juga merupakan kebaikan. Bersahurlah diakhir waktu bukan pukul 12 malam (tu supper). Nabi Muhammad pernah berkata:

"Sahur itu ada keberkatan. Jangan kamu meninggalkannya walaupun seteguk air. Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang yang bersahur."

Friday, July 6, 2012

Harga terbaik dari PTS

Assalamualaikum

Minggu yang sibuk dengan report. Membuat report memerlukan kesabaran. Banyak sangat rasa benda yang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ni nak tapi macam tak logik. Cara diorang minta pelbagai jenis report seolah-olah kita di hospital, tak buat benda lain. Kadang-kedang geram, dan rasanya macam nak suruh orang KKM tu duduk hospital buatkan report sebab kami di hospital ni banyak lagi kerja hakiki yang perlu dibuat. Sekian sahaja luahan perasaan berkaitan kerja..

Pernah beli buku online? memandangkan tahun ni adalah tahun pertama aku tak dapat pergi Pesta Buku Antarabangsa (KLIBF) setelah 5 tahun berturut-turut tak pernah ketinggalan, jadinya stok buku baru adalah berkurang. Rasa malas nak beli buku pun ada sebab harga buku di Sabah ni mahal dan susah nak jumpa buku yang kita nak.

Jadinya cara terbaik adalah beli buku secara online. cuma kekurangan beli buku online ni adalah kena bayar duit pos. tak kisahlah yang penting dapat apa yang kita nak. Tapi nak cerita tentang berbaloinya beli beli buku di http://www.bookcafe.com.my. ni kali kedua aku beli buku kat sini. Kenapa memilih bookcafe?

1) Semua buku ada diskaun
2) website yang user friendly
3) Semua buku PTS yang menarik
4) Harga buku ikut harga semenanjung
5) Packaging terbaik

Kesemua buku ada diskaun minima 15%. pergi kedai pun tak dapat diskaun. dan kadang-kadang boleh sampai > 25%. Diskaun ni bila kita beli banyak-banyak boleh cover kita punya duit pos. tak payah fikir duit minyak, duit parking, duit makan dan sebagainya. Semuanya hanya dihujung jari..

Ni dia buku yang aku beli

Harga sebenar kesemua buku ni adalah mengikut harga semenanjung adalah rm122.50 dan harga pos rm18.50 (pos tak laju). Jadinya harga sebenar buku ni + pos =rm141. Tapi berapa yang aku bayar? harga untuk semua buku ni adalah rm92.46. diskaun adalah rm48.54. rm23.88 adalah diskaun buku tu dan lagi rm 23.88 aku dapat diskaun yang aku tak tau sumber. cuma dia cakap diskaun dari Masjid Ampang. Kalau betullah masjid Ampang yang dermakan aku berterima kasihlah kepada yang menderma tu.

Berbaloi-baloi. kepada peminat buku + peminat shopping online, jom kita beli kat website ni.. Entry kali ini bersifat promotion. aku bukanlah ejen dropship. cuma nak share..wassalam..



Sunday, June 17, 2012

Kurniakanlah HidayahMu

Salam

Di Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik dan agama. Jika wanita yang bertudung mungkin senang untuk dikenal pasti. Tetapi bagi lelaki atau wanita yang tidak bertudung mungkin agak susah. Kita tidak akan tahu agama seseorang tanpa bertanya kepada empunya badan sendiri.

Setiap manusia tidak akan terlepas melakukan dosa. Tidak kira dimana kita berada. Sama ada ketika berseorangan ataupun dalam khalayak ramai kita tidak terlepas melakukan dosa kerana kita bukan nabi yang ma’sum. Apa pepatah mengatakan, nak tengok diri kita, tengok orang disekeliling kita.

Ada 2 situasi yang jarang aku temui depan mata walaupun pada hakikatnya memang ada disekeliling kita. Bagi mereka ini mungkin perkara biasa kerana perkara ini kerap berlaku di sekeliling mereka. Tapi ia agak janggal sebab perbuatan itu jelas, nyata dan terang dosanya. Mereka pun tahu perbuatan itu berdosa.

Pertama.

Ketika aku hendak bayar di salah satu supermarket, terjumpa seorang kenalan yang sememangnya Islam. Pernah jumpa sewaktu sembahyang terawikh sambil membawa anak-anaknya. Tapi dengan tanpa segan silu sambil menegur aku, sambil dia memegang botol arak untuk dipilih. Aku cuba berfikiran positif tentang situasi ni tapi tak boleh.

Arak itu memang jelas haramnya. Tiada sebarang perselisihan pendapat tentang keharamannya. Tapi kenapa dah tau haram tapi masih minum?

“Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”. “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu)”. (Surah An Nisa ayat 90-91)

Kedua.

Sewaktu hampir tiba waktu untuk sambahyang jumaat, aku bertanya kepada salah satu kenalan “Eh, kau tak pergi sembahyang jumaat ke?”. Dengan tanpa segan silu menjawab ”Oh! saya dah lama tak pergi sembahyang Jumaat. Saya ingat nanti saya nak pergilah”. Allah, Allah, Allah. Mengucap.

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)". (Surah Al Jumu’ah ayat 9)


Aku yang lemah ni hanya mampu menggunakan selemah-lemah iman. iaitu mencegah kemungkaran melalui hati sahaja. Ya Allah kau berikanlah aku kekuatan. Mudah-Mudahan Allah memberikan rahmat kepada mereka. Tetapi jangan sesekali kita rasakan jika kita melakukan semua kebaikan kita terasa diri kita bagus dan terbaik melebihi orang lain. Sesungguhnya kita kena terus hormati orang kerana siapa tahu mungkin disisi Allah, lebih tinggi darjat dan iman mereka daripada kita.

Ya Allah aku memohon agar Engkau jangan sesekali mencabut rahmatmu dari dalam diri ini. Aku bersyukur dengan iman yang telah engkau beri dan jangan sesekali engkau tarik nikmat iman yang paling berharga ini. Y aAllah kurniakanlah aku dan sahabat-sahabatku kefahaman dalam beragama dan janganlah engkau jadikan kejahilan dalam diri ini sebab untuk kami berbuat dosa kepada Mu.


Monday, May 14, 2012

Durian runtuh bukan di kebun durian

Salam..

Bersawang?? ok memang paling bersawang.. terabai dan tergendala blog ni.. yang penting penulis masih hidup dan sihat walafiat.. Alhamdulillah

Durian runtuh bukan pada musim durian tapi pada musim pilihanraya. paham?? entry kali ini bukan berunsur politik atau ingin menghentam kerajaan atau pro pembangkang atau apa-apa punlah.. cuma sekadar menyuarakan pendapat seorang insan marhain yang melihat melalui kaca mata yang rabun.

Senangnya RM15K kerajaan bagi untuk setiap keluarga peneroka dan telah memperuntukkan ~rm1.6 bil kepada peneroka felda. ini bukan jumlah yang kecil. sangat banyak. Bersoraklah semua peneroka dan ahli keluarganya. Mungkin nada aku macam dengki sebab bukan anak peneroka, tapi itu memang rezeki peneroka yang diberikan Allah. Aku tak boleh dengki. Cuma kerajaan patutnya memberikan lebih kepada orang yang sepatutnya. Siapa??

Menteri pelajaran akan mengumumkan sesuatu pada hari guru yang bakal menjelang beberapa hari lagi. Guru adalah pendidik bangsa. Anda layak menerima apa sahaja sebagai balasan atas jasa anda. Walaupun kerajaan belum umumkan apakah yang akan diberi, yang pasti ia akan melibatkan peruntukan. sikit ke gaji guru?? bunyi seolah-olah aku mencemburui guru sebab aku bukan guru. tapi kerajaan patut memberikan peruntukan kepada orang yang selayaknya menerima bantuan itu. Siapakah?

Bekerja di Sabah banyak pelajaran yang dapat diambil. Jika dilihat kehidupan segelintir orang Sabah yang tinggal di pedalaman memang amat menyedihkan. Mungkin sesekali kita jangan 'underestimate' mereka sebab ada sebahagian mereka walaupun tinggal di pedalaman tapi duit berkepuk-kepuk dan tanah berekar-ekar. tapi tu mungkin segelintir sahaja bukan semua. banyak lagi yang hidup susah.

Kalau kita tengok cerita Bersamamu kita boleh menangis sebab susahnya hidup orang tu, di Sabah kita boleh tengok banyak lagi susah daripada dalam cerita Bersamamu tu, malah boleh kata satu kampung di pedalaman tu layak terima bantuan Bersamamu tu. Tapi aku sungguh kagum dengan mereka ni. walaupun susah, mereka hidup dengan seadanya tidak menagih simpati, mampu membesarkan anak yang ramai serta tidak merempat meminta sedekah.

1) Orang tua berumur 70an datang ke hospital bersendirian jalan terbongkok-bongkok sambil memegang tongkat daripada ranting pokok ataupun batang mop.
2) Pesakit mengambil masa perjalanan 3 jam dari rumah dan tambang rm20 sehala semata-mata untuk datang ke hospital.
3) Pergi hospital dengan wang simpanan tetapi tiada tambang pulang dan berharap ihsan daripada kebajikan untuk berikan sumbangan.
4) Hari ni pergi hosp, sampai waktu petang, terpaksa tumpang di balai pelawat kerana esok ada ujian darah ataupun ada rawatan dengan doktor.
5) Pergi cuci darah (hemodialysis) sambil membawa hasil kebun untuk dijual supaya boleh dijadikan tambang.
6) Hari ini dibenarkan discarge daripada wad, tapi pulang esok kerana tiada kenderaan pulang ke kampung pada hari itu.
7) Tidak dapat datang pada hari temujanji dengan doktor kerana tiada duit tambang ke hospital
8) Anak datang hospital meminta dibekalkan ubat tetapi tiada prescription sebab tidak datang pada temujanji kerana bapa bergantung pada oksigen dan terpaksa naik bot untuk ke hospital.
9) Berniaga seharian dengan membawa satu bakul dipenuhi dengan makanan dan minuman. Air tin dijual rm1.80 tapi harga modal rm1.50. untung 30 sen.

Ni contoh situasi biasa di Sabah. Kalau mereka terpaksa berkorban sebegini rupa untuk mendapatkan rawatan pakar masih boleh diterima. kesusahan ini perlu ditempuhi semata-mata untuk mendapatkan rawatan biasa di hospital daerah tanpa pakar. Malah apa yang membanggakan, mereka amat berterima kasih dan bersyukur atas segala kemudahan yang diberikan.

Oleh itu, kerajaan patut lebih peka tentang keadaan serta kebajikan penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak. Tak salah nak peruntukkan wang kepada peneroka ataupun guru. Cuma aku amat berharap, wang rakyat itu perlulah diperuntukkan kepada mereka yang lebih layak dan memerlukan seperti yang tinggal dipedalaman ini. mungkin kurang publisiti, tapi sebagai pemimpin, bukan kerana adanya publisiti baru nak kerja, tanggungjawab sebagai pemimpin serta apa yang akan dipersoalkan Allah diakhirat nanti yang perlu kita titik beratkan..akhir kata: Nak kasi durian runtuh biarlah di kebun durian. Sekian wassalam..

Tuesday, January 31, 2012

Pelik pasal kuku



Salam..

Baru-baru ni aku naik teksi. Sambil tengok pemandangan yang indah, tiba-tiba terselit satu pemandangan yang tak indah. Iaitu driver teksi tu punya kuku jari kelingking panjang.

Kadang-kadang terfikir juga, kenapa mereka nak bela kuku panjang hanya pada satu jari. Mungkin ada yang bela untuk banyak jari. Aku cuba berfikir tapi tiada sebarang alasan yang rasional terkeluar malah yang negatif pula keluar. Tanggapan pertama aku terhadap orang yang saja bela kuku panjang ni adalah pengotor dan pemalas. ye ke?

Kadang-kadang aku terfikir, bila dah bela tu tak rasa menyusahkan ke? nak angkat barang kena berhati-hati takut kuku patah, nak beristinjak takut terguris, nak buat penumbuk pun tak boleh, nak pegang stering pun susah, nak taip komputer leceh dan lain-lain lagi.

Tapi aku cuba berpandangan positif terhadap orang yang berkuku panjang lagi-lagi jari kelingking ni. Antaranya mereka senang untuk:

1) Korek hidung??
2) Korek telinga??
3) Pencungkil gigi??!
4) Senjata penyelamat??
5) Pembuka tin milo dan biskut?
6) Screw driver??
7) Menggantikan garfu atau chopstick??
8) Pengumpil cat??
9) pembaris??

Cubalah kita fikir-fikirkan. Nak buat sesuatu tu cuba fikirkan apa faedahnya. apa manfaat yang kita boleh dapat. Jika nak mengikut arus masa pun, berfikiran logiklah dulu. Jika nak nampak macho atau seksi pun, cuba baca dan selidik paling tidak pun guna otak. Moga Allah ampunkan segala dosa dan salah silap kita..~Wallahua'lam~

Sunday, January 15, 2012

Imbau Kenangan

Salam

Semasa aku cuti krismas dan bersambung dengan tahun baru baru ni, sempat mengimbau kenangan lama. walaupun jalan dengan keluarga, tetapi apabila lalu tempat aku pernah menetap, timba ilmu, hidup berdikari dan tempat aku belajar untuk hidup, hati jadi sayup, lagi-lagi bila teringat kawan-kawan yang sama-sama susah dan sama-sama senang.

Walaupun semasa keberadaan aku di tempat itu ada yang manis dan ada yang pahit tapi yang yang pahit itu akan bertukar menjadi manis bila kita tinggalkan tempat itu. Walaupun ditinggalkan cuma beberapa tahun tapi terdapat perubahan yang drastik dipersekitarannya.

Shah Alam

Tempat aku menuntut ilmu untuk mendapatkan ijazah. Walaupun aku kerap datang ke Shah Alam kerana keluarga aku banyak yang menetap di Shah Alam dan jarak dari rumah ke ke sini tidak berapa jauh, tapi memori selama 4 tahun berada disini lebih-lebih lagi di UiTM memang tidak dapat dilupakan. Antaranya:

- Tak dapat nak beraya puas-puas selama beberapa tahun sebab lepas raya terus exam.
- Berjalan kaki pergi kelas dari asrama macam keretapi dikala panas terik. Dan sesekali naik bas yang sesak dengan ramai perempuan
-Nak pergi kelas dari asrama naik bas kena keluar gi seksyen 2 lepas tu masuk balik baru sampai fakulti (malas jalan punya pasal)
- Naik motor sorang satu jalan-jalan gi supermarket dan pergi kelas
- Duduk menyewa di sek 7 blok 12 609. Sangat merindui rumah dan seisinya. teringat segala jenis jadual tertampal didinding, ikan di akuarium, naik turun tangga tingkat 5 dan segala konflik melanda
- Stress waktu study week. kena hafal structure kimia, hafal nama ubat. (pintu jamban umah sewa pun penuh structure kimia ok..)
- Berterawikh di Masjid Shah Alam. Sangat merindui.
- Makanan yang sedap-sedap sek 2 (ABC & nasi goreng rm2), food court sek 7, hakim dll


Melaka

Melaka merupakan tempat pertama aku bekerja sepanjang hidup. Hidup di Melaka bagi aku memang best tapi tempat kerja je yang buat tak best. Aku pergi Melaka saja jalan-salan sebab 1 tahun dah tak datang sana. Kami tinggal di homestay Al-Hidayah di Bachang yang sangat berbaloi dan berpuas hati. Pergi satu hari tapi memang pergi sana untuk makan. Melaka memang banyak tempat makan yang 'best'. Kalau malas nak masak memang tak perlu risaulah sebab restoran melambak-lambak. Apa yang boleh di 'flashback':

- Duduk rumah sewa di Batu Berendam seorang diri selama setahun tanpa saudara-mara terdekat. yang terdekat pun di Banting.
- Rumah sewa daripada kosong (langsir pun tiada) sampailah banyak perabot (tinggal bawa bini je masuk) lepas tu kena pindah pulak.
- Drive dari Banting balik Melaka sebelum subuh setiap hari Isnin yang tak oncall.
- Berdekatan dengan rumah sewa ada kedai daging babi salai??
- Jiran kanan dan kiri, dua-dua jual nasi lemak. pelik kan?
- Seorang je lelaki melayu PRP kat hospital ni.
- Kerja non-stop selama berminggu-minggu dan nak claim off yang sangat susah.
- pergi kerja naik motor lepas tu basah lencun bila sampai rumah
- Bazar Ramadhan dari hospital sampai rumah ada 5 bazar ramadhan. Semua sedap sedap. tak sempat nak khatam.
- makan seafood di Alai, Umbai, Muara sungai Duyong dan yang paling sedap dan berbaloi-baloi adalah di Sabak Awor, Muar. sanggup driving pergi sini lepas balik kerja dengan kemeja lagi.

Haa..banyak lagi kenangan yang indah-indah bila melawat tempat yang pernah kita tinggal. Bulan 2 ni akan pergi ke kenduri kahwin kawan yang berdekatan dengan sekolah asrama yang pertama sekali aku berjauhan dengan keluarga. 'severa homesick' waktu ni. iaitu di Serting. Sungguh, benda yang kita sangka pahit dan stres sebenarnya akan menjadi manis dan akan menjadikan kita lebih kuat untuk menempuh hidup yang akan datang. wassalam ~N~

Sunday, January 1, 2012

Salam Tahun Baru



Salam

Salam Tahun Baru 2012. Hari ni umur kita telah meningkat dan telah bertukar angka..semakin meningkat. tak boleh nak elak dah..memang akan terus menigkat. Apa ada pada nombor? Nombor sangatlah bererti. kalau tiada nombor maka kita tak akan sedar diri.

Meningkatnya umur maka akan jangka hidup kita semakin berkurang dan makin hampirlah kita kepada penghujungnya iaittu, MATI. Maka kita tidak perlulah terlalu berseronok sangat apabila datangnya tahun baru, kerana kita seolah-olah menyorak untuk datangnya kematian.

Nasihat untuk diri sendiri dan orang lain, kita patutnya lebih bermuhasabah diri dan renung-renungkan amalan dan apakah ada sesuatu hasil atau perkara signifikan yang telah kita buat sepanjang tahun lepas.

Oleh itu, marilah sama-sama kita merangka skrip hidup kita untuk 2012. jangan hanya skripkan dalam minta. tulis diatas kertas dan tengok hari-hari supaya kita ada matlamat dalam kehidupan. Jadikanlah diri kita lebih baik dari sebelumnya.. Mudah-mudahan apa yang kita azamkan untuk tahun ini akan menjadi kenyataan Amiin..wassalam ~N~