Thursday, December 18, 2008

Alahai Mc Donalds



Salam

“Mahalnya, minyak turun tapi makanan makin mahal”. Perkataan pertama terdetik dalam hati aku apabila membeli ‘Prosperity Burger’ di Mc Donalds. Tidak dapat dinafikan bahawa ‘Prosperity Burger’ yang hanya keluar setahun sekali sewaktu hampir-hampir Tahun Baru Cina ini adalah antara burger kegemaran aku. Setiap tahun boleh katakan aku akan membelinya setelah melihat iklannya yang menggiurkan tu.

Tapi tahun ni aku rasakan macam tidak berbaloi untuk makan ‘Prosperity Burger’ yang mana setnya yang hanya burger, air gas dan ‘curly fries’ tu berharga Rm14+ (ni harga seketul daging, yang ‘Double Prosperity’ RM18+ - ya ampun mahal sungguh). Sedap tu memang sedap. Tapi RM18 tu untuk sekali makan aku rasa melampau yang mana sama dengan 2 hari makan makanan kat restoran biasa. Bukannya ‘Prosperity Burger’ je yang aku rasa mahal, tapi boleh katakan semualah dah mahal.

Lagi satu makanan McD yang aku rasa tak berbaloi adalah McFlurry. Masa bulan puasa dulu last aku makan aiskrim ni. Lebih kurang RM5 lah juga harganya. Aiskrim untuk seorang berharga RM5. Aku rasa tak berbaloi. Cadangan aku daripada beli McFlurry tu, lebih baik korang beli aiskrim kat supermarket jenama Nestle, Walls, Kings dll yang boleh dapat dengan harga RM5 juga. Bukannya tak sedap. Lagi puas makan, siap boleh makan ramai-ramai lagi. Dapatlah juga pahala sedekah.

Ramai juga kawan-kawan aku ‘complain’ tentang harga makanan McD yang melampau sekarang ni (ingatkan aku seorang je). Rungutan yang biasa aku dengar, “Sekarang ni, kalau takde orang nak belanja aku makan kat McD takdelah aku pegi” (aku mengharap juga kalau ada orang nak belanja ).

Kadang-kadang bila makan makanan mahal-mahal ni aku teringat cerita ‘Bersamamu’. Cuba kita tengok macam mana diorang susah payah nak besarkan anak yang ramai yang mana pendapatan cuma RM10 atau RM20 sehari. Kita ni lebak-lebuk, sekali makan McD tu sama dengan pendapatan diorang makan anak-beranak sehari. Lagi satu, cuba kita tengok macam mana orang di Kemboja dan Sudan. Semuanya kurus kering tak cukup makan. Kadang-kadang makan daging pun setahun sekali tu pun waktu raya korban. Sesetengah dari kita termasuk aku, kalau masak ikan rebus atau kuah tumis air tu terus merungut tak nak makan.

Aku bukannya anti McD atau melarang orang lain makan fast food. Aku pun jenis makan juga fast food ni (ada pula orang takut ajak aku gi makan fast food pula lepas ni). Kalau orang ajak, aku pergi ja. Tapi cuma aku nak sarankan agar kurangkan makan fast food ni lebih-lebih McD. Sekali-sekala nak makan tu boleh, tapi nak dijadikan makanan ruji janganlah. Dengan harga RM18 tu macam-macam boleh beli. Aku rasa makan RM8 tu kalau di restoran biasa tu dah cukup sedap makanan yang kita boleh dapat. Lepas tu lagi RM10 buat sedekah untuk masjid lagi elok.

Teringat pula nasihat Saidina Uthman Radiallahu Anhu:

Barang siapa yang suka kepada makanan yang lazat dan mewah harus sentiasa ingat bahawa badannya terpaksa berlapar di akhirat.~N~

Friday, December 12, 2008

Ketika cinta Bertasbih



Salam,

Alhamdulillah..dengan kuasaNya dapatlah aku mengkhatamkan novel Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2. Cuti yang membosankan ni membuatkan aku boleh memecut membaca novel ni memandangkan cerita di tv pun banyak yang aku tak tahu pokok pangkalnya dan membuatkan aku malas untuk menonton.

Seperti sebelum ni, aku ada cerita serba sedikit tentang novel ni. Dan pada kesempatan ini aku menggalakkan dan mengajurkan kepada semua kawan-kawan untuk dapatkan dan membaca novel ni. Bagi aku, tujuan penulis (Habiburrahman) yang ingin membangukan jiwa melalui penulisan novelnya tercapai. Ini kerana penulis bukan sahaja hanya mengolah dan membunga-bungakan ayatnya, malah pada pandangan aku, penulis amat banyak membuat research dan bacaan umum yang dimuatkan dalam novelnya bagi menambah ilmu para pembacanya.

Buku Ketika Cinta Bertasbih 1 (KCB1) lebih banyak menceritakan tentang kehidupan Azzam dan rakannya di Mesir. Ketika Cinta Bertasbih 2 (KCB2) pula menceritakan kehidupan Azzam setelah pulang dari Mesir dan tentang keluarganya di Indonesia. Azzam merupakan watak utama dalam novel ni. Pada pandangan aku penulis telah berjaya menghidupkan watak Azzam dan watak-watak lain dengan menjelaskan ciri-cirinya secara terperinci yang membolehkan kita menggambarkan dengan jelas watak tersebut. Novel ini amat menarik kerana amat sedikit watak antagonist dan dipenuhi dengan kehidupan Islamik yang semakin jarang kelihatan pada masa kini.

Novel ini berkisahkan tentang seorang pemuda bernama Azzam yang sedang belajar di Universiti Al-Azhar Mesir. Pada asalnya Azzam seorang pemuda yang bijak dan kemudian terpaksa mengorbankan masa pembelajarannya dengan berniaga tempe dan bakso demi menyara kehidupan ibu dan 3 orang adiknya di Indonesia setelah kematian bapanya. Dia terpaksa menghabiskan ijazahnya dalam masa 9 tahun dan dalam pada waktu itu dia tidak pernah pulang ke kampung halamannya dan tidak pernah melihat pembesaran adik-adiknya.

Disamping menjadi peniaga dan pelajar, Azzam juga dianggap sebagai abang oleh rakan-rakannya yang sering dijadikan rujukan dan sikapnya banyak dijadikan contoh bagi rakan-rakannya yang lain. Dalam kesibukannya, Azzam tetap ingin mencari calon isterinya yang mana ciri utamanya adalah solehah, taat pada Allah, oran tuanya dan mampu mentaati suami. Dalam mencari jodohnya, Azzam banyak berpandukan ajaran Al-quran dan hadis dan lebih banyak berserah kepada Allah serta yakin terhadapNya kerana jodoh itu ditanganNya.

Eliana yang merupakan wanita yang bijaksana, kaya dan menjadi ikon masyarakat Mesir dan Indonesia yang mendapat pendidikan barat dimana dalam diam mengkagumi akhlak Azzam dan ingin berubah menjadi wanita solehah. Anna Althafunnisa merupakan wanita solehah yang amat tinggi ilmu agamanya dan merupakan anak kepada seorang kiyai terkenal di Indonesia. Anna sangat merendah diri dan kecantikan luaran dan dalamannya menjadikan dia sebagai wanita impian kebanyakkan pelajar-pelajar lelaki Al-Azhar untuk dijadikan isteri. Vivi pula merupakan seorang doktor yang dikenali Azzam sewaktu berada di tanah air merupakan seorang wanita yang solehah dan bagus budi pekertinya dan mengimpikan suami yang soleh yang dapat membimbingnya dunia dan akhirat seperti Azzam.
Terdapat juga wanita-wanita lain selain 3 yang disebut yang menjadi calon isteri kepada Azzam. Wanita-wanita itu adalah calon isteri kepada Azzam yang mana ada yang memang diimpikan Azzam, ada yang memang meminati Azzam, dan juga ada yang dicarikan oleh ahli keluarga dan teatangga Azzam. Yang mana satu menjadi pilihan Azzam untuk dijadikan isteri? Kenalah baca sendiri. Kekuatan novel ini pada aku adalah tentang hubungan kekeluargaan yang ditunjukkan dalam novel ini boleh membuatkan kita menitiskan air mata. Selain itu, kehidupan islamik yang ditunjukkan oleh keluarga, sahabat dan tetangga Azzam membuatkan kita bermuhasabah diri tentang kehidupan kita alami sekarang yang banyak lari dari landasan yang betul.

Novel Ketika Cinta Bertasbih adalah hasil karya Habiburrahman El Shirazy dan telah diterbitkan di Malaysia oleh Al-Hidayah publication. KCB1 mempunyai 484 muka surat dan berharga RM21.90 manakala KCB2 mempunyai 626 muka surat berharga RM25.90 kalau tiada diskaun. Pada pandangan aku dan aku jamin, tak rugi jika kita membaca dan memiliki novel ni.

Pengajaran utama yang aku dapat lepas baca novel ni:
1. Hubungan kekeluargaan yang erat membuatkan setiap ahli keluarga sanggup mengorbankan apa yang dicita-citakan untuk kepentingan ahli keluarga yang lain.
2. Redha dengan setiap ketentuan Allah dan percaya Allah telah menyediakan keindahan selepas setiap ujian itu.
3. Jadilah manusia yang bukan sahaja berjaya di dunia malah turut berjaya di akhirat.
4. Berani berubah untuk terus maju serta tidak perlu malu dengan kelemahan dan kekurangan diri sendiri dan tidak perlu sombong atas setiap kesenangan. Dan banyak lagi.~N~

Tuesday, December 2, 2008

Novel

Ketika saya mengatakan bahawa jika saya sampai melakukan ciuman itu dengan wanita yang tidak halal bagi saya, maka saya telah menodai kesucian saya sendiri dan kesucian wanita itu. Dan itu bagi saya adalah satu musibah yang luar biasa besar. Saya telah kehilangan kesucian bibir saya. Tidak hanya itu, saya juga kehilangan kesucian jiwa saya. Jiwa saya telah dikotori oleh dosa yang entah bagaimana cara menghapuskannya. Jika bibir ini kotor oleh gincu, dapat dibersihkan dengan air atau lainnya. Tapi jika dikotori dengan bibir yang tidak halal, kotor yang tidak nampak bagaimana cara membersihkannya. Meskipun hanya beristighfar, meminta ampun kepada Allah tetap saja bibir ini pernah kotor, pernah ternoda, pernah melakukan dosa yang menjijikkan. Saya tidak ingin melakukan perkara itu, saya ingin menjaga kesucian diri saya. Seluruhnya. Saya ingin menghadiahkan kesucian ini kepada isteri saya kelak. Biar dialah yang menyentuhinya pertama kali. Biar dialah yang akan mewangikan jiwa dan raga ini dengan sentuhan-sentuhan yang mendatangkan pahala”. Petikan dari novel Ketika Cinta Bertasbih 1.

Ini petikan kedua yang aku ambil dari novel Ketika Cinta Bertasbih 1 selepas ‘matahari’. Entah tak tahu kenapa aku amat tertarik dengan banyak ayat-ayat yang terdapat dalam novel ni. Novel ni bagi aku sangat menarik kerana pada setiap cerita diselitkan juga dengan unsur-unsur yang mendidik jiwa. Bagi aku objektif penulis ingin menyelitkan unsur dakwah dalam penulisannya sangat berkesan.

Buat pengetahuan semua, aku sebenarnya sangat suka membaca. Tapi bukanlah membaca novel. Tak tahu kenapa aku tak gemar sungguh baca novel. Mungkin ‘bad expectation’ aku tehadap novel. Sebab biasanya novel ni menceritakan tentang cinta yang menggelikan, ayat-ayat berbunga yang tak henti-henti, asyik terlanjur, putus cinta, cinta kembali berputik dll yang aku terasa kembang otak bila baca.

Bermula dengan melihat filem ayat-ayat cinta dan atas saranan kawan-kawan untuk membaca novel Ketika Cinta Bertasbih membuatkan aku ingin membukakan hati untuk membaca novel. Buat pengetahuan semua, novel Ketika Cinta Bertasbih ni, adalah novel kedua yang aku pernah baca sepanjang hidup aku selepas Konserto Terakhir (ni pun baca lepas SPM).

Ribuan terima kasih kepada saudara Habiburrahman kerana telah menarik perhatian aku dan melembutkan hati aku untuk membaca novel. Aku sangat tertarik dengan penulisan saudara. Akan aku cari karya-karya yang lain selepas ni. Buat kawan-kawan yang galakkan & memaksa aku untuk membaca novel ini terima kasih banyak-banyak. Pesanan kepada kawan-kawan lain jika ada novel yang seangkatan & seakan-akan dengan novel karangan Habiburrahman oleh penulis lain, tolong buzz.~N~

p/s: aku belum nak komen pasal novel ni banyak sangat sebab aku baru baca Ketika Cinta Bertasbih (KCB) 1. Nak kena pergi cari KCB 2. Dalam KCB1 semua cerita belum ada ending.