“Laila! lama sungguh tak jumpa kau” ujar kak Nab semasa bersalam dengan Laila sambil berpelukan.
“Aah lah kak Nab, kalo tak ada raya macam ni entah jumpa tah tidak kita ni” balas Laila.
“Eh! Ni anak ko Naim ye?, yang sebaya dengan anak aku Sham tu ke?. dah besar panjang budak ni. Dulu kecik je”, tanya kak Nab sambil menghalakan jari telunjuknya ke arah Naim.
“Ha yelah. Dulu kecik je, sekarang lagi besar daripada emaknya. Si Sham tak ikut ke? ”soal Laila.
“Alah biaselah budak sekarang bukannya nak ikut kita pergi ziarah rumah orang ni” jawab laila. “ko buat ape sekarang ni Naim? ” soal Laila lagi.
“Owh..sekrang saya dah tahun akhir mak cik amik jurusan kimia kat Universiti Malaya”, jawab Naim dalam nada bangga.
“Ha tu lah..Naim ni kalau belajar memang bersungguh-sungguh. Setiap semester dapat anugerah dekan. Lecturer dia suma kenal dia. Ni dengar cerita lecturer dia nak recommend kan untuk sambung master kat US. Silap-silap terus sampai PhD”, tambah Laila sambil membangga-banggakan anaknya.
“Sham buat ape pulak cik?”, Tanya Naim tentang pesaingnya sewaktu sekolah dulu.
“Sham tu, baru habis sijil kat politeknik. Mane taknya, belajar kat sini, berhenti..hantar pula kat sana berhenti juga..tak taulah ape nak jadi kat budak tu”, sayup jawapan yang diberikan Kak Nab.
Bisik Naim dalam hatinya, “Ai bukan ke mase sekolah rendah dulu si Sham ni bukan main pandai. Asyik masuk kelas pertama je. Kalau macam tu, antara budak sekolah rendah dulu, aku ni antara orang paling berjayalah..tunggulah habis belajar nanti, aku lah yang bawak kereta paling mahal sekali”
Sifat takbur dan riya’ adalah penyakit hati dan merupakan antara sifat-sifat mazmumah yang ada dalam diri kita. Terasa diri sendiri paling pandai dan berbangga-bangga dengan kepandaian merupakan antara sifat buruk yang wujud apabila kita dikurniakan Allah dengan kebijaksanaan. Ingatlah kita bahawa tidak akan masuk syurga jika ada perasaan riya’ dalam diri kita walau sebesar zarah pun.
Menilai kepandaian seseorang melalui nilai gred atau ‘pointer’ menjadi perkara lumrah dalam hidup masyarakat kita. Ada juga yang menilai ilmu seseorang itu berdasarkan kehebatan universiti tempat mereka belajar. Adakah Allah akan tanya ‘pointer’ atau universiti mana tempat kita belajar di dalam kubur serta di akhirat kelak? Atau dengan ‘pointer’ yang tinggi dan universiti hebat dapat dijadikan tiket untuk kita masuk ke syurga di akhirat nanti. Ingatlah, apa yang Allah akan tanya nanti adalah sejauh manakah ilmu yang diberikan itu digunakan serta dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan semua.
Tujuan utama hidup kita di dunia adalah untuk mencari keberkatan dan keredhaan Allah. Sesungguhnya untuk mendapat ilmu yang berkat kita perlulah mengamalkan panduan yang telah digariskan Allah. Sebagai contoh, Rasulullah bersabda “sekali seseorang itu menghadiri majlis ilmu maka Allah akan buka baginya sepuluh pintu syurga untuknya”. Adakah dengan ponteng kuliah dan belajar di rumah semata-mata untuk mendapat ‘pointer’ yang tinggi akan mendapat keberkatan Allah?. Atau belajar sampai lewat malam sehingga terlajak sembahyang subuh itu boleh mendapat redhaNya?. Sama-sama kita renungkan.
Mari kita muhasabah diri kita semula, sejauh mana cara kita dalam menuntut ilmu itu betul mengikut syariat . Ilmu Allah itu luas. Maka carilah ia sebanyak-banyaknya. Firman Allah dalam surah Luqman ayat 27 yang bermaksud:
Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis kalimah-kalimah Allah ditulis.
Lagi banyak ilmu dicari sepatutnya lagi kerdil terasa diri ini bila berada disisiNya. Bukannya dengan ilmu yang banyak menjadikan diri kita ego, bongkak dan sombong.
Bila kita telah diberikan kebijaksanaan dan berada di atas janganlah sesekali memandang rendah orang di bawah. Siapa tahu orang yang berada dibawah itu lebih mulia disisi Allah tempatnya. Mungkin pernah terdetik dihati kita seperti “siapa dia nak tegur aku? SPM pun tak lepas pandai nak nasihat orang”. Setiap manusia yang dijadikan Allah mempunyai bakat dan keistimewaan masing-masing. Biarlah orang itu seorang tukang cuci, tukang kayu atau penarik beca sekalipun mereka perlulah kita hormati. Andai kata Allah jadikan semuanya doktor, siapa pula nak jadi jadi bomba, siapa pula nak tangkap penjenayah dan siapa pula yang nak betulkan kereta jika rosak.
Oleh itu, jika Allah kurniakan kepandaian itu kepada kita, panjatkanlah banyak-banyak kesyukuran kita kepadanNya. Jadikanlah kepandaian itu sebagai nikmat Allah untuk mendekatkan diri kita kepadaNya. Ilmu bukanlah senjata untuk kita bermegah-megah atau memandang rendah kebolehan orang lain. Tingkatkanlah ilmu kita setinggi-tingginya kerana orang yang berilmu itu dipandang mulia disisi Allah.
p/s: Jangan jadikan artikel ini sebagai alasan untuk tidak “score” dalam exam. Jadikan artikel ini sebagai ‘boost’ kita untuk berjaya + mendapat keberkatan Allah. InsyaAllah..Amiin.~N~
1 comment:
"Tiga pemusnah (amalan), kebakhilan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan merasa agung dan hebat dengan diri" ( Riwyaat Al-Bazzar & At-Tabrani, Hadis Hasan : ALbani )
Peringatan utk diri sendiri..sentiasalah ingat..segala-galanya dari Allah..jgn pernah terdetik dalam diri..aku paling hebat..aku paling sibuk berdakwah..aku paling kuat beribadat..aku itu..aku ini..aku hebat serba-serbi..nau`zubillahiminzalik..
Post a Comment