Sunday, March 31, 2013

Tips ke Hanoi - Part 7

Salam.

Entry kali ini adalah kesimpulan yang ringkas atau secara tuntasnya (ayat SPM).. Berdasarkan tajuknya mengalahkan aku ni travel agent ataupun dah pergi Hanoi 10 kali. Tapi sekadar ingin berkongsi pengalaman yang ada:

1) Jika nampak tiket murah AirAsia sila buat keputusan dalam masa setengah jam untuk beli atau tidak. Sebelum merancang nak beli tiket apa-apa sila baca blog-blog atau website travelling ni supaya kita ada aim tempat yang nak pergi. Sediakan duit siap-siap didalam akaun bank yang ada internet banking. Kalo boleh elakkan kad kredit sebab ada extra charge. Kalau lambat sangat fikir nanti melepas. dalam masa 1 5 minit pun kadang-kadang tiket promo boleh habis.
* tiket ke Hanoi ni kami decide untuk beli kurang dari 30 min.

2) Sila bawa 'travelling adapter' dan extension plug. Sebab di Hanoi ni mereka guna plug 2 pin.


3) Makanan. Soalan paling lazim. Nak makan dekat mana? mana nak cari makanan halal? Semasa di Hanoi aku cuma sempat cuba 2 restoran yang halal je.
 a) Nisa Restoran - Restoran ni kepunyaan orang Malaysia. Dalam restoran itu sendiri mengagung-agungkan Malaysia. Agak bagus juga lah sebab ada surau di tingkat atas restoran ni. Masa hari kedua tu kami buat delivery je  pinjam telefon hotel. Agak cepat jugalah. Tak silap aku boleh order guna email. Sebelum datang tu cuba try email diorang dulu sebab cara ni aku belum cuba. Aku tengok dalam restoran diorang ni ada komputer yang buka 24jam. Antara makanan yang menarik dalam restoran ni adalah spring roll dan mee Pho (makanan famous Vietnam)


Ni kad restoran tersebut, ada alamat hotel website, email dan no tel.

 b) Lion City Cafe & Restaurant. Pemilik restoran ni adalah orang Singapore tapi dia ni dah kerja dekat Malaysia lama. Jadinya dia tahu apa kehendak orang Malaysia. Di atas restoran ni juga ada hotel dan ramai jugalah orang Malaysia yang datang amik pakej menginap di hotel ni. Dia cakap kalau orang Malaysia ramai duduk dekat hotel dia tapi memang ramai pun makcik-makcik dan pakcik-pakcik duduk sini. Dia cakap hotel dia ada sejadah, penanda kiblat semua,walaupun dia India. Tapi aku tak pergi tengok. Dan kalau orang Malaysia dapat diskaun. Katanya! Menu untuk restoran ni memang banyak dan boleh dikatakan sedap. Dan yang paling sedap adalah mee goreng dia. Serius paling sedap. Kat Malaysia pun tak jumpa mee goreng sesedap ni. Tapi kalau korang beli tak sedap jangan salahkan aku. Masa aku beli tu sedap gile. Harga boleh tahanlah daripada tak makan, baik melabur je sikit. 



* Bagi yang risau tak tau macam mana nak pergi restoran ni, cuma perlu save gambar ni dan tunjukkan alamat dekat driver taxi, dijamin sampai.

Ada juga restoran halal yang lain, silalah google sebab ada beberapa restoran lain juga aku pernah jumpa dalam internet termasuklah restoran Arab dan restoran India.

4) Tourism Information. Sebenarnya aku baru jumpa tempat ni malam sebelum balik. Dia sediakan maklumatKita boleh ambil brochure, peta dan lain-lain lagi dekat tempat ni secara percuma. Patutnya hari pertama dah pergi sini dulu baru pergi berjalan. 

Yang aku bulatkan merah tu tempat letaknya information centre


5) Jika ingin ke Halong bay, sila ambil pakej yang bermalam sekurang-kurangnya semalam menaiki cruise. Day trip ke Ha Long Bay sangat memenatkan. Dan jika ke ingin ke Sapa, untuk ke sana sahaja perlukan 3 hari 2 malam dan perjalanan agak jauh. Sila rancang perjalanan anda.

6) Sila ambil ambil travel agent di Hanoi nanti, jangan  beli online kerana harga sangatlah jauh berbeza. Jangan risau last minute sebab travel agent tu boleh dibooking beberapa jam sebelum dan kebanyakkan hotel  menyediakan pakej dan kalau rajin buatlah survey dikedai-kedai travel agensi yang lain juga.

7) Waktu nak tukar duit, tukar sikit kepada dong dan selebihnya tukar kepada USD. Masa aku pergi tu aku tukar 30% dong dan 70% USD. Dan Kalau boleh minta duit kecil siap-siap nanti kena scam macam aku.

Sekian wassalam


Trip to Hanoi Day 3 - Part 6

Salam

Bersambung kita daripada part 5

Selepas makan tengah hari di Restoran Nisa, rancangan kami untuk untuk meneruskan pusing-pusing bandar Hanoi disamping membeli barangan cenderahati yang tak cukup-cukup tu. Kawan aku ni tak habis lagi nak beli backpack yang diidamkan.  Aku dah fullstop. Beli satu yang 20L malam tadi tu dah cukup puaskan hati sebab sangat murah. Nak beli-banyak-banyak pun tak tau nak buat apa. Dari restoran Nisa tu nampak macam senang je nak sampai area Hoan Kim Lake, tapi sebenarnya susah ataupun kami ni tak berapa pandai tengok peta. Banyak kali jugalah bertanya dengan orang tepi jalan untuk sampaikan ke arah tasik tu.



Sambil-sambil jalan di kawasan kedai, tiba-tiba depan satu kawasan kedai ni ramai gila orang berkerumun. Aku pun menjengah (bombastik ayat aku guna) mencari punca kenapa ramai manusia disini. Sekali pandang-pandang nampak kaunter water puppet. Wah secara tak sengaja menjumpai kaunter tiket ni. Rupa-rupanya manusia seramai-ramai alam ni nak masuk hall untuk pertunjukkan puppet yang dah nak mula masa tu. Terus kami pergi beli tiket water puppet. Dalam rancangan nak tengok waktu petang, tapi semua tiket habis. Yang ada cuma tiket untuk pertunjukkan terakhir, pukul 915pm. Bantailah daripada tak tengok langsung. Harga tiket yang ditawarkan adalah 60000dong dan 100000dong. Mestilah kami ambil yang paling murahkan 60000dong = RM9.

Selesai beli tiket kami sambung lagi jalan ke Dong Xuan Market. Asalnya malas dah nak jalan, nak naik beca je. Sekali tengok harga beca pun boleh tahan pada masa yang sama seat kecil. Tak muat nak sumbat 2 orang kami ni yang saiz punggung sebesar zarah ni. Akhirnya jalan kaki jelah sambil tengok-tengok kedai. Jauh juga sebenarnya jalan kaki. Tapi nak sedapkan hati, anggap jelah itu salah satu usaha pembakaran kalori dan lemak degil ni. Kalu nak tau, di mana letaknya pasar Dong Xuan ni, korang jalan je tapak pasar malam tu, jalan terus je sampai hujung. Sampai nampak syurga. Tipu..haha.. Sampailah nampak satu bangunan sebiji yang bukan macam bangunan rumah kedai.

Tujuan ke sini sebenarnya nak tau apa ada dekat sini. Pasar ni kalau mak-mak, diorang sukalah pergi. Pasar ni sebenarnya macam pasar borong. Bahagian luar dia banyak orang jual makanan contohnya kacang-kacang, jeruk, gula-gula dan kerepek.  Pasar ni 2 tingkat, tingkat satu tak sempat nak jelajah. Terus-terus nak pergi tingkat 2. Konon-kononnya nak cari kain untuk mak-mak. Anak soleh katakan walaupun buta corak cantik. Mata lelaki ni kalau tengok baju corak-corak macam kain potong ni mesti tak cantik. Tak percaya siapa yang dah kahwin tu, cuba suruh suami korang belikan kain pasang untuk baju kurung tu tanpa korang ikut. Mesti tak memenuhi 9 nafsu perempuan tu. Kalau cakap cantik tu mesti tak ikhlas. Haha.



Macam padang besar kan

Kedai kain atas ni kebanyakkannya bukan selera orang Malaysia. Lagi pun sini Hanoi bukannya Ho Chin Minh City yang jadi syurga beli belah orang Malaysia tu (Macam lah aku penah pergi HCM). Kain-kain yang dijual banyak yang warna plain untuk buat kameja, blazer, dan sebagainya. Cuma dekat satu celah tu ada tiga kedai jual kain potong yang macam cotton. Kat sinilah kedai kain selera orang Malaysia. Kat celah ni jugalah kami jumpa ramai orang Malaysia. Siap ada satu kedai tu dia senaraikan pelanggan-pelanggan dia dari Malaysia. Semangat sungguh. Alang-alang dah sampai tu aku beli jelah untuk mak aku. Tu pun sebab jumpa geng-geng mak cik ni datang shopping dekat sini. Kitorang panggil geng 'Narimah' sempena nama sorang mak cik ni paling ramah. 3 orang makcik ni sebenarnya lecturer dan ada yang dah bercucu. Yang kagumnya, mereka ni geng yang setiap tahun akan pergi travel dan jadi mak dara kejap.

So, geng Narimah nilah yang tolong pilihkan kain. Geng ni shopping tak hengat dunia almaklumlah duit banyak. Lagipun diorang beli luggage AirAsia 30kg sorang. Ko mampu!. Kami beli 30 kg 4 orang, tu pun semua orang lenggang tak bawa beg masa naik flight tu. Dia kata kat bandar Hanoi ni ada satu kawasan jual kain je tapi kain dekat situ semua mahal. Dekat Dong Xuan ni yang paling murah. Wallahualam. Kemudian kami turun bawah dekat kawasan jual makanan. Ada orang bagitau geng Narimah tu suruh beli kerepek nangka sebab kerepek tu sedap dan dibuat ditempat yang bersih. Dan yang paling penting ada tanda Halal. Habis diborong Narimah kerepek nangka, siap belanja kami makan satu bungkus lagi. Kami pun belilah sikit dengan harga 43000dong sepeket.

Lepas shopping sikit-sikit, hari pun dah petang. Kami balik hotel dulu rehat-rehat sebelum meneruskan perjalanan pada waktu malam. Lepas maghrib kami bercadang untuk pergi makan di restoran yang dicadangkan oleh geng Narimah. Kami suruh tauke hotel telefonkan teksi dan bawa kami ke Lion city cafe & restaurant. Nanti aku cerita pasal restoran ni. Restoran ni dalam kawasan hotel. Pemilik dia orang Singapura dan boleh cakap melayu. Lepas tu kami terus ambil teksi pergi Water Puppet. Sekali bila dah panggil teksi baru pemilik hotel tu bagitau yang water puppet tu tak jauh dari hotel dia. Lantaklah naik je teksi, lagipun dah penat dah jalan siang tadi.

Hoan Kim Lake pada waktu pagi

Sampai di kawasan Water puppet tu, waktu tayangan lambat lagi. Jadinya kami jalan-jalan sekitar situ. Dan sampai waktunya, kami masuklah ke dalam hall tersebut. Tempat duduk kami adalah huruf R. Sekali masuk dapat tempat duduk paling 1st. Untung kami beli tiket murah sebab dapat seat 1st tapi dari belakang. Haha. Nasib baik masih jelas juga. Water Puppet ni agak menarik jugalah walapun sepanjang penceritaan dia adalah dalam bahasa Vietnam. Tapi bila bahagian-bahagian penting tu, kat tepi tu ada TV yang ada translation  dalam english. Penat jugalah mata aku nk fokus kat TV tu. Seat 1st katanya.

Disebabkan aku ni alahan dengan keadaan malap dan kurang pergerakan ni, jadinya adalah juga part-part tu yang aku ter..tak tengok sebab ter..tidur. Walaupun tengok secara lompang-lompang, tapi aku tetap suka sebab sound sistem dia jelas dan pergerakan puppet tu agak menarik. Boleh amik gambar lagi pakai kamera handphone. Last sekali masa pertunjukkan ni, semua yang terlibat dengan pertunjukan ni akan keluar dari belakang dan semua orang akan tepuk dengan gemuruh sekali (ayat karangan darjah 6). Berakhirlah Rm9 kami tapi berbaloilah.

Belah kiri tu perempun tukang nyanyi dan main alat muzik dan kat atas kepala dia tu ada tv yang ada translation 



Waktu ni dah habis, semua staff dah keluar

Lepas sahaja tengok ni, waktu tu pun dah agak lewat malam. Kami meneruskan excercise kaki kami dengan menapak balik hotel. Sambil nak balik hotel tu, lalu lagi dekat weekend night market. Bukan boleh lalu tempat macam ni, ada je tangan laju nak beli barang. Lagipun, malam ni malam terakhir kami disini, jadinya kasi perabis lah dong tu, kat Malaysia takut money changer tak nak terima pulak.

Kapal terbang dari Hanoi ke Kuala Lumpur hanya  ada satu je sehari iaitu pukul 9 pagi. Jadinya Uncle Tony ni saja je nak suruh kami rugi bayar duit hotel sebab dah sah-sahlah esok pagi pukul 6 pagi dah kena gerak dari hotel. Jadinya rugi satu hari kami. Malam tu, kami settlekan semua hutang dengan tauke hotel ni. Almaklumlah dari teksi datang, duduk hotel 3 malam dan trip yang kami ambil semuanya hutang lagi. Percaya sangat diorang ni kat pelancong. Kalau hotel Malaysia, bukan saja minta bayar semua dulu siap minta deposit lagi. Punyalah tak percaya kat orang, tapi memang tak boleh percaya pun dengan orang kita sendiri. Jadinya saki baki duit dong yang ada digunakan untuk  bayar hotel dan mana tak cukup, kami top up pakai USD. Settle Jadinya pagi esok kami tak nak renyah-renyah, siap-siap terus belah.

Jadinya seawal pagi dah gigih bangun. Bilik kami 4 orang tapi 1 toilet. Ala kadar jelah mandi sorang sikit. Terus siap dan ucap babai kat Mr Duan diatas kebaikan beliau. Airport transfer ni kami bayar siap-siap dengan Mr Duan USD15  malam tadi. Harga untuk Airport transfer dan airport pickup ni lain-lain. Baik confirmkan siap-siap dari awal. Sebab masa di airport, jumpa semula geng Narimah ni, diorang cakap diorang bayar USD50 untuk dua-dua trip. Tapi diorang banyak duit. Kami punya baru USD33 return. Nasib koranglah. Satu perkara yang aku belajar dari mereka ni, rezeki Allah yang diberi baik sebarkan sama rata. Maknanya kalau 5 kedai jual barang yang sama dan harga yang sama, jadinya belilah sikit sikit di setiap kedai. Biar semua merasa duit kita.

Sekian sahaja cerita perjalanan kami ke bumi Hanoi. Jika ada yang mengguris hati harap dimaafkan. Sekian Wassalam

 

Saturday, March 9, 2013

Trip to Hanoi Day 3 - Part 5

Salam

Bersambung kita daripada part 4

Sebenarnya dalam perancangan kami ke Hanoi, hari kedua akan pergi ke Ha Long Bay yang merupakan "7 wonders of nature". Tapi memandangkan kami kepenatan yang teramat sangat daripada perjalanan semalam, kami terpaksa membatalkan niat tersebut. Nasib baik tak booking online, kalau tak, terkulai kepenatan balik Malaysia nanti. Tu lah antara bagusnya ambil trip dari Hanoi, kita boleh 'confirm'kan dengan tour agent selewat-lewatnya 730 pagi pada hari yang sama sebelum bertolak. Antara sebab kami terpaksa cancelkan rancangan ini adalah jarak perjalanan ke Ha Long Bay lebih kurang 4 jam pergi dan 4 jam balik untuk 'day trip'. Larat? Semalam dah sehari suntuk pergi berjalan. Sebab esok nak balik Malaysia seawal pagi. Tu tak dapat nak ambil pakej overnight dalam kapal di Ha Long Bay. Lagi satu sebab juga adalah pemandangan di Tam Coc tu seolah-olah Ha Long Bay juga. Alasan semua tu (Tapi aku tetap tanam misi nak pergi Ha Long Bay ni juga satu hari nanti).

Apakah plan pada hari ni? Kami mengambil keputusan untuk jalan-jalan sekitar bandar Hanoi ni sebab sekitar bandar ni pun banyak benda yang boleh dilawati. Makanya lepas sembahyang Subuh, semua sambung tidur lagi, penat kononnya. Pukul 10 pagi baru nak mula jalan. Disebabkan berjalan-jalan sekitar bandar Hanoi ni tiada dalam perancangan awal, jadinya aku tak berapa nak 'study' pasal tempat menarik di bandar. Setelah mengorek maklumat daripada tauke hotel, akhirnya berbekalkan sekeping peta kami bergerak ke kawasan Ho chin Minh Mausoleum kerana area kawasan ni juga banyak tempat menarik. Jadinya tak perlu banyak kali naik teksi. Tauke Hotel ni yang tolong telefonkan teksi dan dia juga tolong cakapkan dengan driver teksi ni tempat yang kami hendak pergi.

Corridor sepanjang nak masuk Mausoleum. Banyak Tv tuyang pertunjukan kebudayaan.


HCM Mausoleum



Setelah tiba di kawasan ni, hujan pun turun. Tapi hujan di Hanoi ni menarik. Sebab titisan air dia kecil-kecil dan tidak membasahkan. Semua orang macam tak endah je dengan hujan dan teruskan dengan aktiviti mereka. Menurut tauke hotel tu mausoleum ni dah tutup tapi boleh je jalan di luar. Kami pun main bantai jelah pergi. Sekali bila sampai rupanya masih buak. Bag-bag semua tak boleh bawa masuk ke kawasan ni. Kena letak di kaunter luar tu. Balik nanti baru boleh ambil. Sekali bila nak masuk mausoleum ni semua orang macam beratur, jalan dalam barisan dan agak sopan lah nak melawat kawasan ni. Kami ni mengekor je, bukan paham pun apa diorang ni cakap sambil posing-posing ambil gambar. Orang-orang Vietnam jalan dalam keadaan serius dengan polis berada disepanjang perjalanan sambil perhati orang yang nak masuk dan pandang sinis dengan kami ni yang tak henti-henti ambil gambar.

Sebenarnya kami adalah rombongan terakhir yang dapat melawat kawasan ni sebab mausoleum ni buka  dari 7.30-10.30 am during summer dan 8.00-11.00am during winter. kami ni kira bernasib baiklah sebab sampai pun dah nak pukul 11 dan masih dibenarkan melawat. Kami ni berfikiran yang mausoleum ni sama macam makam-makam di Malaysia. Macam makam Tunku Abdul Rahman kat Masjid Negara tu. Intai-intai dari luar tengok kubur.  Tapi makan Ho Chin Minh ni sangatlah berprotokol nak masuk dan polis sangatlah banyak. Bila masuk bangunan mausoleum tu, lampu macam ala-ala malap dan semua orang jalan sehala je. Kawan aku ni pegang kamera, sekali kena tahan dengan polis situ, sebab tak boleh ambil gambar dan tak boleh pegang kamera. Dengan keadaan kami yang blur, kami jalan sampai ke kawasan dewan makam tu. Rupanya semua orang vietnam ni memberi penghormatan kepada pemimpin mereka Ho Chin Minh ni. Dan yang paling terkejutnya, mayat Ho Chin Minh ni masih ada dekat situ. Diorang awet mayat dia. Nampaklah muka dan berkameja sekali. Muka dia sebijik-sebijik macam gambar dalam duit Vietnam tu. Macam melawat rumah hantu, tak pun melawat rumah mayat pun ada. Dengan jasad Ho Chin Minh tu terkujur baring di tengah-tengah, dikelilingi 4 orang polis bersenapang yang kaku disetiap bucu katil tu. Sekali dibuatnya bangun tiba-tiba mayat tu, mau lintang pukang semua lari.

Patutlah berprotokol sangat. Dah lah orang Vietnam ni sangat menghormati pemerintah mereka, yang kami ni duk terkinja-kinja ambil gambar. Maaflah ye sebab kami tak tau pun dalam tu ada mayat macam tu lagi. Sedikit info pasal Ho Chin Minh:


Hồ Chí Minh (19 May 1890 – 2 September 1969), born Nguyễn Sinh Cung and also known as Nguyễn Tất Thành and Nguyễn Ái Quốc, was a Vietnamese communist revolutionary leader who was prime minister (1945–1955) and president (1945–1969) of theDemocratic Republic of Vietnam (North Vietnam). He was a key figure in the foundation of the Democratic Republic of Vietnam in 1945, as well as the People’s Army of Vietnam (PAVN) and the Việt Cộng (NLF or VC) during the Vietnam War.
He led the Việt Minh independence movement from 1941 onward, establishing the communist-ruled Democratic Republic of Vietnam in 1945 and defeating the French Union in 1954 at the battle of Điện Biên Phủ. He officially stepped down from power in 1955 due to health problems, but remained a highly visible figurehead and inspiration for those Vietnamese fighting for his cause—a united, communist Vietnam—until his death. After the war, Saigon, capital of the Republic of Vietnam, was renamed Hồ Chí Minh City.
Sumber: wikipedia


Setelah habis satu pusingan melawat makam tu, kami keluar dan masuk ke kawasan Ho Chi Minh Museum. Orang Vietnam masuk free, pelancong kena bayar 25000 dong/head. Apa yang menarik dekat sini adalah kita boleh tengok rumah Hồ Chí Minh ni dan segala aset-aset dia. Dari bilik tidur, bilik study, kereta, dapur, laman rumah dll. Biasa-biasa jer dalam ni. Pusing sekali harung je. Masa nak keluar dari kawasan tu kita boleh lihat "One Pillar Temple". Ramai kot masa tu orang berimpit dekat kawasan ni. Malas nak masuk dan ambil gambar dari luar je. Dah katanya 'one pillar', tapi orang yang masuknya tak hingat dunia. Silap-silap runtuh pula.

Rumah HCM

Kereta HCM

Bilik tidur HCM

Ruang makan HCM

Bilik Study HCm



Akar pokok berbentuk pagoda

One pillar temple

Pokok unik. Ditengah-tengah pokok ni tumbuh pokok kelapa.

One Pillar temple




Kemudian kami keluar dari kawasan tu, dan bercadang nak pergi lagi satu muzium. Yang terdekat adalah Vietnam Fine Art Muzium. Berjalan kaki lah kami. dalam peta macam dekat tapi sebenarnya jauh jugalah. Kami ni pun memandai-mandai tanya orang tempatan semua. Sekali jumpa satu bangunan ni. Dah yakinlah ini adalah muzium yang dicari sebabnya ada orang membuat khat kaligrafi cina kat luar ni. Betul lah ni. Nak cari pintu dia, punyalah jauh ke depan, kami sampai dari belakang. Kenalah tawaf. Masuk kawasan ni kena bayar 20000dong/head. Sekali masuk rupanya kami bukan pergi Vietnam Fine Art muzium, yang kami masuk adalah Van Mieu-Temple of Literature. Ah..bantailah masuk, lagipun dah bayar. Tiada apa yang menarik cuma landskap dia cantik jugalah. Waktu ni kami dah kelaparan sebenarnya, melawat pun tak ikhlas tiada perasaan nak ambil tau pun sejarah tempat ni. Tengok-tengok bukan kami paham pun. Dah tak faham tu bukannya reti nak bertanya atau upah guide. bodoh sombong katanya!. Nak tau pasal Van Mieu-temple of literature ni boleh tengok di sini.






Sekitar kawasan Van Mieu-Temple of Literature, Hanoi

Kemudian kami terus cari teksi untuk pergi cari restoran nak makan. Tengah hari ni kami sebenarnya cari restoran D'Nyonya tapi tak jumpa. Orang situ cakap restoran ni dah pindah. Aku pun tak tau dia pindah mana. Jadinya, kami makan di Restoran Nisa lagi (akan diulas pada part terakhir). Di sebabkan Restoran Nisa ni dekat jugalah dengan Hoan Kiem Lake, kami pun berjalan kaki ke kawasan tasik sebab member sorang ni ada dia aim satu barang malam tadi tapi belum beli lagi. Jadinya aktiviti seterusnya adalah sambung membeli belah. Aku tak adalah berminat sangat nak shoping tapi ikut jelah.

Terpanjang sangatlah entry kali ni. Bersambung...

Sunday, March 3, 2013

Trip to Hanoi Day 2 - Part 4

Salam

Bersambung daripada part 3


Selepas 'kenyang' makan tengahari, kami terus pergi ke seberang jalan untuk memulakan sesi menaiki sampan. Sampan disini bermakna tiada enjin. Sampan ini memerlukan pendayung untuk mendayung agar sampan itu bergerak (macam cikgu tadika pula). Setiap satu sampan boleh memuatkan maksimum 4 orang termasuk pendayung. Pendayung sampan terdiri daripada lelaki dan perempuan. Nasib baik kami punya pendayung sampan tu lelaki. Tak adalah terasa dayus atau serba salah sangat kerah tenaga perempuan. Tiada ciri-ciri keselamatan diutamakan. Tiada life jacket diberikan kepada penumpang. Tapi jangan risau, sebab sungai tu sebenarnya tak dalam pun. Boleh nampak dasar dan ada je orang kerja tangkap-tangkap ikan kat tepi-tepi sungai tu.

Tam Coc ini juga dikenali sebagai 'Ha Long Bay On Land'. Kerana pemandangan di kawasan ni seolah-olah pemandangan di Ha Long Bay (macamlah dah pernah pergi Ha Long Bay) tapi Tam Coc ni di tengah-tengah darat tapi Ha Long ni di tengah laut. Jadinya pemandangan di Tam Coc ni dikelilingi oleh bukit-bukit batu kapur yang cantik. Sejak mula dari perjalanan lagi kami dah 'excited' tengok pemandangan di kanan dan kiri sungai. Sebenarnya, malam sebelum 'booking' iket pergi sini, kami dah tanya tauke hotel tentang sawah padi di kawasan Tam coc ni tengah musim apa? Dengan yakin dia jawab "paddy now is green". Wow teruja lah kami nak tengok macam dalam gambar kat internet. Sekali bila sampai, nah tiada padi langsung. Baru lepas musim menuai. Satu biji daun padi warna hijau pun tak ada.


Ni gambar sebenar kalau padi tu masak ranum. Sama ada padi tu hijau atau pun kuning. Sumber: google

Nampak tak perempuan tu kayuh pakai kaki. Tengok kanan dan kiri tu, tiada padi langsung.

Semasa perjalanan menyusuri sungai ini,  sampan akan melalui 3 'grotto' iaitu lebih mudah dikenali sebagai gua. Kami melalui 'grotto' ni dengan teruja sekali. Walaupun gelap, tapi tetap nampak stalaktit dan boleh pegang lagi tu dan boleh terkena air yang menitis dari syiling gua. Dan sesekali kena elak dan tunduk sebab ada yang stalaktit yang panjang. Selain itu, boleh juga nampak budaya kehidupan golongan yang tinggal di kawasan berhampiran sungai. Ada yang tengah tangkap ikan, ada yang tengah tanam pokok dan ada yang tengah pasang pukat. Selain itu, kita juga akan nampak binatang sedang bermain di kawasan paya di tebing sungai. Ada itik berenang dan ada juga babi khinzir bajet chomel bercengakarama.


Antara aktiviti yang dijalankan oleh penduduk disini.



Dalam perjalanan nak masuk 'grotto'.


Keruh juga kan air dia.

Buat pengetahuan semua, sungai ni bukanlah satu bulatan. Sungai ini ada penghujungnya. Makanya sampai satu hujung, bot akan patah balik. Jadinya agak lama juga lah kami atas bot tu, hampir 2 jam. Kita yang duduk ni pun boring, bayangkan orang yang mendayung tu hampir 2 jam tu. Kau mampu?!! Kalau aku, komfirm 10 minit je larat. Apa yang menyebabkan mereka ni boleh kayuh lama adalah, mereka mengayuh menggunakan tangan dan kaki. So, bila dia kayuh pakai kaki jangan nak asyik tengok belakang je. Sila tengok depan ye dan hayati pemandangan. Pada perjalanan pulang ni lah bermulanya 'scam' yang akan spoil percutian anda.

Scam 1

Selepas sahaja patah balik, akan ada makcik-makcik yang jual makanan dan minuman atas sampan. Kami punya pakcik pendayung ni terus-terus tuju sorang mak cik ni punya sampan. Macam komplot pula. Tak pun mak cik ni bini dia. Jadinya, kami ni tak kan nak beli benda-benda yang shubahah kehalalannya. Jadi kami belilah buah mangga potong satu paket. Macam yang jual kat tepi jalan dalam bekas ada ais yang boleh letak asam tu. Dia cakap harga USD1. Mahal nak mati. Dalam hati niat sedekah jelah. Sekali dia cakap kesianlah dekat pakcik pendayung tu. Dia bagi air dengan jajan apa tah dekat pak cik tu cakap bayar USD3. Aku pun keluarlah USD5 sebab baru hari kedua mana ada duit kecil lagi. Tulah yang paling kecil. Sekali makcik ni terus bagi biskut oreo 1 paket dekat pakcik pendayung tu sebab nak kasi bundar je duit tu, tak perlu bagi baki. Bayangkan USD5 = RM15 untuk satu paket buah mangga yang harganya RM1 kat Malaysia. Bukan kedekut, tapi cara dia menipu tu tak boleh bla. Ada kawan aku tu lagi teruk, makcik tu suruh bayarkan beer untuk pendayung diorang. Nasib baik kami punya air Ice lemon tea je.

Scam 2

Sejurus sahaja bot mendarat di tempat yang kami naik tadi, baru nak melangkah keluar, pendayung panggil kami semula. Dah lah tak paham apa dia cakap. Yang paham cuma perkataan 'tips" je. Baru terasa menyesal kenapa aku paham maksud perkataan 'tips' tu. Tak cukup-cukup ke kami belikan kau bekalan tadi? RM14 tu. Bukan ko makan pun benda kita bagi tadi. Mesti nanti nak balik rumah bagi balik kat makcik tu dan keuntungan kongsi berdua (berprasangka buruk kejap). Pakcik ni tak nak tau kalau kita bagi sikit. Last skali kawan aku bagi 100000 dong = USD 5 = RM15 lagi. Kami bayar 80 hinggit tau nak datang sini.

Scam 3

Ingatkan dah sampai selesailah semua scam-scam tu. Sekali naik je atas darat kami dikejari oleh jurugambar tak professional yang mengambil gambar kami tanpa meminta kebenaran dan sewaktu kami sibuk menghayati kecantikan alam. Diorang ni sibuk mengekor kami paksa beli gambar yang mereka ambil yang dah siap cuci dan 'laminate'. Saya ulang 'laminate'. Terasa macam artis dikejar paparazi pula. Dah lah curi-curi ambil gambar, then hegeh-hegeh kejar kami minta autograph beli gambar. Kami berkeras juga tak nak beli. Sampai muka makcik dari lima belas sen kepada seposen akhirnya kami beli juga. Hati orang Malaysia kan lembut, pemurah, penyayang, tak sampai hati dan semua sifah mahmudahlah tapi dalam inverted koma.
Oklah kira sedekah je lah. 3 gambar kami bayar dalam 2 dolar je. Kawan aku tu tak ada duit kecil, dia cakap saya ada 5 ringgit je. Tu pun jurugambar tu sambar dan nampak lagi seringgit dalam wallet dia minta juga. Tapi dia kira untung sebab gambar diorang ada lima keping. Tak apalah. rezeki masing-masing.

Selepas 'berjaya' menempuhi scam-scam ni, aktiviti kami seterusnya adalah dengan menaiki basikal pusing kampung. Teruja tiba-tiba sebab dah lama tak naik basikal. Pusing kampung tengok sawah padi atas tanah dan tengok bukit batu kapur dapi tanah pulak. aktiviti ni dia bagi masa dalam 30 minit. Kami jalan 15 minit je dah patah balik. Sebabnya dah penat dan pada masa yang sama basikal tu agak tak selesa. Seat basikal tu teramatlah kecil. Ataupun tut kami yang besar. Entahlah. Jadinya balik jelah tunggu dekat bas. Lagipun dekat area parking bas tu macam ada pasar. Tengok dari luar pasar, kebanyakan orang jual daging 'sikhin', terus tak lalu nak masuk pasar tu.

Maskman bersama basikalnya.
Perjalanan balik mengambil masa lebih kurang 2jam sama macam datang tadi. Kami terus dihantar ke hotel atas permintaan sebab plan malam ni nak  pergi pasar weekend night market tu sebabnya dekat je dengan hotel kami. Lagipun dah berlengas dan lapar nak makan dulu. Bab nak makan apa nanti akan diterangkan dalam ruangan kesimpulan.

Kemudian kami pergi ke pasar malam dekat jalan Hang Dao. Lebih kurang dekat kepala Hoan Kiem Lake. Disebabkan masa kami pergi ni musim sejuk, jadinya kebanyakkan pakaian yang dijual adalah pakaian untuk musim sejuk. Di sini juga boleh didapati 'Fridge Magnet (FM)' yang sangat murah dan pelbagai cenderahati yang lain. Aku dapat FM bentuk sepasang orang vietnam dengan pakaian tradisi mereka dan pelbagai warna dengan harga ~RM1 je. T-shirt I love Hanoi pun pun boleh beli dekat area ni.

Yang merah tu adalah tempat pasar malam weekend dan yang biru tu tempat nak beli bag. Sila tekan pada gambar untuk dapatkan gambar yang jelas.


Sebenarnya kedai di Hanoi ni telah disusun mengikut jalan. Maknanya kalau nak beli beg ada area yang jual beg je, kalau nak beli kain ada area yang jual kain je, so pepandailah cari sendiri kat mana area-area barang yang nak dicari. Kami jalan-jalan area Hoan Kim Lake je. dan disebelah kiri Hoan Kim Lake ni banyak kedai jual Beg yang murah-murah. Lagi-lagi jenis bag pack. Kalau yang berjenama tu tak original tapi best quality tu boleh dapat dalam USD10 je dan kalau original boleh dapat dalam harga USD 30 je. Sebelum aku datang Vietnam ni ada gak survey dekat Uptown tu, bagpack ni yang tak ori pun diorang dah jual RM120 paling murah. So, jangan lupa beli bag dekat sini. Nak bawa balik jual pun boleh.

Panjang sangat pulak dah entry kali ni..kita bersabunglah pula..