Friday, December 12, 2008
Ketika cinta Bertasbih
Salam,
Alhamdulillah..dengan kuasaNya dapatlah aku mengkhatamkan novel Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2. Cuti yang membosankan ni membuatkan aku boleh memecut membaca novel ni memandangkan cerita di tv pun banyak yang aku tak tahu pokok pangkalnya dan membuatkan aku malas untuk menonton.
Seperti sebelum ni, aku ada cerita serba sedikit tentang novel ni. Dan pada kesempatan ini aku menggalakkan dan mengajurkan kepada semua kawan-kawan untuk dapatkan dan membaca novel ni. Bagi aku, tujuan penulis (Habiburrahman) yang ingin membangukan jiwa melalui penulisan novelnya tercapai. Ini kerana penulis bukan sahaja hanya mengolah dan membunga-bungakan ayatnya, malah pada pandangan aku, penulis amat banyak membuat research dan bacaan umum yang dimuatkan dalam novelnya bagi menambah ilmu para pembacanya.
Buku Ketika Cinta Bertasbih 1 (KCB1) lebih banyak menceritakan tentang kehidupan Azzam dan rakannya di Mesir. Ketika Cinta Bertasbih 2 (KCB2) pula menceritakan kehidupan Azzam setelah pulang dari Mesir dan tentang keluarganya di Indonesia. Azzam merupakan watak utama dalam novel ni. Pada pandangan aku penulis telah berjaya menghidupkan watak Azzam dan watak-watak lain dengan menjelaskan ciri-cirinya secara terperinci yang membolehkan kita menggambarkan dengan jelas watak tersebut. Novel ini amat menarik kerana amat sedikit watak antagonist dan dipenuhi dengan kehidupan Islamik yang semakin jarang kelihatan pada masa kini.
Novel ini berkisahkan tentang seorang pemuda bernama Azzam yang sedang belajar di Universiti Al-Azhar Mesir. Pada asalnya Azzam seorang pemuda yang bijak dan kemudian terpaksa mengorbankan masa pembelajarannya dengan berniaga tempe dan bakso demi menyara kehidupan ibu dan 3 orang adiknya di Indonesia setelah kematian bapanya. Dia terpaksa menghabiskan ijazahnya dalam masa 9 tahun dan dalam pada waktu itu dia tidak pernah pulang ke kampung halamannya dan tidak pernah melihat pembesaran adik-adiknya.
Disamping menjadi peniaga dan pelajar, Azzam juga dianggap sebagai abang oleh rakan-rakannya yang sering dijadikan rujukan dan sikapnya banyak dijadikan contoh bagi rakan-rakannya yang lain. Dalam kesibukannya, Azzam tetap ingin mencari calon isterinya yang mana ciri utamanya adalah solehah, taat pada Allah, oran tuanya dan mampu mentaati suami. Dalam mencari jodohnya, Azzam banyak berpandukan ajaran Al-quran dan hadis dan lebih banyak berserah kepada Allah serta yakin terhadapNya kerana jodoh itu ditanganNya.
Eliana yang merupakan wanita yang bijaksana, kaya dan menjadi ikon masyarakat Mesir dan Indonesia yang mendapat pendidikan barat dimana dalam diam mengkagumi akhlak Azzam dan ingin berubah menjadi wanita solehah. Anna Althafunnisa merupakan wanita solehah yang amat tinggi ilmu agamanya dan merupakan anak kepada seorang kiyai terkenal di Indonesia. Anna sangat merendah diri dan kecantikan luaran dan dalamannya menjadikan dia sebagai wanita impian kebanyakkan pelajar-pelajar lelaki Al-Azhar untuk dijadikan isteri. Vivi pula merupakan seorang doktor yang dikenali Azzam sewaktu berada di tanah air merupakan seorang wanita yang solehah dan bagus budi pekertinya dan mengimpikan suami yang soleh yang dapat membimbingnya dunia dan akhirat seperti Azzam.
Terdapat juga wanita-wanita lain selain 3 yang disebut yang menjadi calon isteri kepada Azzam. Wanita-wanita itu adalah calon isteri kepada Azzam yang mana ada yang memang diimpikan Azzam, ada yang memang meminati Azzam, dan juga ada yang dicarikan oleh ahli keluarga dan teatangga Azzam. Yang mana satu menjadi pilihan Azzam untuk dijadikan isteri? Kenalah baca sendiri. Kekuatan novel ini pada aku adalah tentang hubungan kekeluargaan yang ditunjukkan dalam novel ini boleh membuatkan kita menitiskan air mata. Selain itu, kehidupan islamik yang ditunjukkan oleh keluarga, sahabat dan tetangga Azzam membuatkan kita bermuhasabah diri tentang kehidupan kita alami sekarang yang banyak lari dari landasan yang betul.
Novel Ketika Cinta Bertasbih adalah hasil karya Habiburrahman El Shirazy dan telah diterbitkan di Malaysia oleh Al-Hidayah publication. KCB1 mempunyai 484 muka surat dan berharga RM21.90 manakala KCB2 mempunyai 626 muka surat berharga RM25.90 kalau tiada diskaun. Pada pandangan aku dan aku jamin, tak rugi jika kita membaca dan memiliki novel ni.
Pengajaran utama yang aku dapat lepas baca novel ni:
1. Hubungan kekeluargaan yang erat membuatkan setiap ahli keluarga sanggup mengorbankan apa yang dicita-citakan untuk kepentingan ahli keluarga yang lain.
2. Redha dengan setiap ketentuan Allah dan percaya Allah telah menyediakan keindahan selepas setiap ujian itu.
3. Jadilah manusia yang bukan sahaja berjaya di dunia malah turut berjaya di akhirat.
4. Berani berubah untuk terus maju serta tidak perlu malu dengan kelemahan dan kekurangan diri sendiri dan tidak perlu sombong atas setiap kesenangan. Dan banyak lagi.~N~
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment